Sunday, September 6, 2020

JANGKITAN KULIT IMPETIGO

 JANGKITAN KULIT IMPETIGO



Impetigo adalah jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria tertentu (Streptococcus atau Staphylococcus). Bakteria tersebut memasuki bahagian kulit yang rosak disebabkan menggaru, luka atau lain-lain masalah kulit. Ia biasa berlaku pada bayi dan kanak-kanak. Ia juga mudah tersebar kepada orang lain.

.

Ia bermula dengan gelembung-gelembung kecil dan akhirnya pecah dan mengeluarkan cecair. Cecair tersebut akan kering dah menghasilkan kulit keras yang berwarna coklat kekuningan. Ia selalu dilihat pada bahagian muka di sekeliling mulut dan hidung. Bagaimanapun ia juga boleh terjadi pada bahagian lain badan terutamanya bahagian yang terdedah.

.

BAGAIMANA IMPETIGO BOLEH BERJANGKIT?

.

1. Bersentuhan badan dengan orang yang dijangkiti penyakit ini.

2. Berkongsi pakaian, tuala atau tempat tidur dengan orang yang dijangkiti. Ia juga boleh merebak daripada satu bahagian badan kepada bahagian badan lain.

.

KOMPLIKASI IMPETIGO

.

Jika impetigo tidak dirawat, kanak-kanak akan mengalami :

.

1. Demam/Sepsis

2. Cellulitis

3. Osteomyelitis

4. Kadang-kala jangkitan bakteria Streptococcus ini boleh membawa kepada penyakit buah pinggang yang serius dipanggil Glomerulonephritis.

5. Pada bayi, penyakit ini lebih tersebar luas dan lebih teruk.

.

Sekiranya anak anda mengalami impetigo, bawalah anak berjumpa doktor. Rawatan dengan ubat sapu dan antibiotik melalui mulut mungkin diperlukan jika penyakit ini tersebar luas dan lebih teruk. 

.

Selain itu anda juga boleh basuh dengan cermat bahagian kulit yang keras dengan sabun / larutan antiseptik dan air 3 - 4 kali sehari dan juga harus menahan diri daripada menggaru bahagian tersebut untuk mengelakkan ia merebak ke bahagian lain.

.

BAGAIMANAKAH JANGKITAN INI DAPAT DIELAK?

.

1. Jauhkan kanak-kanak daripada sekolah atau pusat jagaan sehingga sembuh

2. Elakkan berkongsi tuala, pakaian dan cadar

3. Basuh tangan dengan bersih menggunakan sabun dan air selepas bersentuhan dengan kulit yang dijangkiti

4. Pastikan kuku sentiasa pendek dan bersih

5. Pastikan ubat diambil mengikut preskripsi doktor

.

#HealthDrZubaidi

No comments:

Post a Comment

Followers